Tuesday, July 24, 2012

Salam

Sudah 2 tahun saya berehat. Syukur segala urusan dijalankan pembantu saya dan purata 25 pasangan telah dinikahkan setiap bulan terutama dari Malaysia.

Urusan nikah bukanlah pekerjaan saya tapi saya cuma tidak ingin lihat penipuan demi penipuan dijalankan oleh sindiket dan orang-orang Malaysia yang tidak faham peraturan di kedua-dua negara.

Sekarang tidak lagi seperti dahulu, imam masjid tidak boleh menikahkan pasangan. Hanya di Majlis Agama Islam Songkhla urusan boleh dibuat. Juga pihak Malaysia kini meminta resit dari Konsulat Malaysia bukan sekadar surat pengesahan. Masih banyak ejen yang mencari jalan mudah dengan menyediakan surat konsulat palsu. Juga urusan tidak boleh dijalankan sehari sahaja.

Paling menarik semua pasangan masih berhubung dengan kami sehingga tidaklah perlu kami beriklan untuk khidmat kami, semuanya dirujuk oleh pasangan-pasangan yang kami telah bantu. Ada yang datang kepada kami dalam keadaan daif (ekonomi) dan menjadi sebab utama keluarga tidak dapat menerima, kami buka peluang perniagaan antara negara Thailand dan Malaysia dan mereka kini dihormati keluarga.

Benarlah kata-kata orang tua-tua, kalau berharta semua menjadi sanak saudara. Semasa susah nak berkawan dengan anak orang pun tak diizinkan. Walaupun kami tidak pernah menyatakan perkara ini tapi hakikatnya inilah antara sebab terbesar pasangan muda kahwin lari, walaupun kasih dan sayang menjadi puncanya tetapi kesusahan hidup menghalang mereka mendirikan rumahtangga secara betul.

Bagi pasangan yang berada dan berpoligami mereka tentu lebih suka mendapatkan perkhidmatan yang lebih mewah yang kami tidak sediakan.

Banyak pasangan yang tidak mendaftarkan di Malaysia juga kerana masalah kewangan. Mereka takut didenda dan akhirnya peraturan semakin ketat di Malaysia dan nikah mereka sukar didaftarkan. Kasihan anak cucu Melayu kita. Marilah bersama-sama dengan kami mungkin (InsyaAllah) kami dapat memberi jalan bukan setakat bernikah tapi memulakan hidup baru.